Friday, October 7, 2011

Hedonisme Pencetus Masalah Sosial

1.0 PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan (2005), edisi ke empat, hedonisme adalah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Fahaman ini lahir daripada asas sekularisme yang menolak fahaman agama dalam kehidupan manusia. Hedonisme berasal dari perkataan Greek yang membawa maksud keseronokan atau kelazatan ialah kebaikan. Anggapan awal fahaman ini adalah, manusia selalu mengejar kesenangan dalam hidup baik jasmani ataupun rohani. Pencetus fahaman hedonisme ialah Aristipos dan Epikuros yang menyatakan bahawa manusia melakukan aktiviti untuk mencari kesenangan semata-mata. Kedua-dua pencetus fahaman ini mempunyai aliran yang berbeza. Aristipos lebih menekankan kepada kesenangan zahir atau segala yang berkaitan dengan keperluan jasad seperti makan,minum dan sebagainya. Manakala Epikuros lebih menekankan kepada kesenangan rohani seperti bebas dari perasaan takut, bahagia, tenang dan sentiasa gembira. Menurut Endri Susanto (2008), walaupun kedua-dua pencetus fahaman ini mempunyai aliran yang berbeza, namun kedua-dua fahaman ini menekankan kepada kesenangan atau kemewahan semata-mata.

Kesimpulannya, hedonisme adalah pandangan hidup yang menganggap bahawa kesenangan dan kenikmatan material adalah tujuan utama hidup (wikipedia). Hakikatnya, hedonisme yang menolak fahaman agama dalam kehidupan manusia telah melanggar dan menentang ajaran Islam yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran. Islam mengajar umatnya supaya berpegang teguh kepada ajaran agama dan sentiasa beramal ibadah dalam kehidupan seharian, malangnya, fahaman ini yang pada asalnya diamalkan oleh masyarakat Barat telah menguasai pemikiran umat Islam hampir di seluruh pelusuk dunia. Fahaman ini juga telah meresap ke dalam jiwa sahsiah hampir keseluruhan lapisan masyarakat di negara ini yang akhirnya mengundang kepada pelbagai masalah sosial dan budaya negatif dalam kalangan masyarakat.

2.0 KESAN BUDAYA HEDONISME

2.1 SIKAP PENTINGKAN KEMEWAHAN

Abu ’Afifah (2003), berpendapat hedonisme yang mula menguasai pelbagai lapisan masyarakat di negara ini telah menimbulkan satu trend negatif dalam kalangan masyrakat iaitu sentiasa ingin hidup mewah, bergaya dan berhibur secara berlebih-lebihan. Di rumah misalnya, segala kelengkapan seperti perabot, peralatan elektrik dan sebagainya mestilah yang serba moden dan terbaru. Penggunaan kenderaan pula, bukan sahaja dari jenama yang diimport tetapi harus dilengkapi dengan pelbagai aksesori mutakhir yang memperlihatkan kehebatan dan kemewahan pemiliknya. Bahkan pada hari ini penggunaan kereta import sudah menjadi satu budaya, manakala kereta tempatan di anggap sebagai kelas bawahan, tidak bergaya serta murah. Begitu juga dengan pakaian, harus dari yang berjenama dan bergaya, dan kalau berhibur pula harus di tempat-tempat yang ada kelas yang akhirnya membawa pelbagai gejala maksiat. Budaya seperti ini ditegah dalam ajaran Islam yang menyeru umatnya supaya tidak terlalu mengejar kemewahan dan tidak mengamalkan sikap boros serta berbelanja dengan bijak dalam setiap keperluan yang dikehendaki.

Namun sikap yang diamalkan oleh masyrakat pada hari ini amat mengecewakan. Masyarakat hari ini lebih mementingkan gaya kerana takut dipandang rendah oleh masyarakat yang lain. Keadaan ini menimbulkan persaingan dalam masyarakat untuk menunjukkan kemewahan masing-masing yang akhirnya mewujudkan perasaan hasad dengki dan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Akibat dari keinginan untuk hidup mewah dan bergaya terdapat segelintir masyrakat yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan segala keperluan dan kehendak nafsu untuk hidup mewah dapat dipenuhi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk berhutang dan meminjam wang dari sanak saudara, rakan-rakan dan kadang kala sehingga meminjam wang daripada ceti haram. Budaya meminjam wang atau berhutang daripada sanak saudara dan rakan-rakan yang dahulunya di anggap sebagai perkara yang memalukan tidak lagi diendahkan. Walaupun dalam ajaran Islam menegaskan kepada umatnya supaya menjauhi hutang kerana mendatangkan pelbagai masalah, namun masyarakat Islam sendiri pada hari ini lebih suka berhutang asalkan segala keperluan yang dibuai nafsu syaitan dapat dipenuhi.

2.2 PENINGKATAN KES JENAYAH

Kita dapat melihat pengaruh dan budaya yang dibawa oleh hedonisme bukan sahaja menggalakkan masyarakat untuk berhutang tetapi turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah. Abu ’Afifah (2003), juga menyatakan peningkatan kes jenayah sejak akhir-akhir ini turut dikaitkan dengan budaya dan gaya hidup hedonisme yang hanya memandang bahawa kemewahan adalah segala-galanya. Terdapat segelintir masyarakat yang malas berusaha tetapi berkeinginan hidup mewah kerana terpengaruh dengan budaya yang dianjurkan oleh hedonisme. Akibatnya kumpulan masyrakat ini akan melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang negara hanya kerana ingin mendapatkan wang. Maka tidak menghairankan kita bila mana rompakan bank dan kedai emas, kehilangan kenderaan, rasuah, peras ugut, pengedaran dadah, dan lain-lain kes jenayah menghiasi muka depan akhbar hampir setiap hari. Kesemua jenayah yang dilakukan ini adalah bermotifkan untuk mendapatkan wang, justeru wang umpama menjadi kuasa yang dapat menjana segala keperluan hidup manusia.

Demi mendapatkan wang sebagai sumber kesenangan dan kemewahan hidup di dunia, manusia yang telah terpengaruh dengan hedonisme sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan meskipun barangkali terpaksa menjatuhkan orang lain dengan pelbagai tipu muslihat ataupun terpaksa menggadai nyawa dan maruah serta mengorbankan nyawa orang lain. Sesuatu hal yang amat membimbangkan kita ialah jenayah-jenayah ini turut melibatkan ramai golongan remaja. Contohnya peningkatan kes juvana di Perak banyak membabit kes curi yang di lakukan oleh remaja. Sebanyak 245 kes daripada 382 kes yang dikesan sepanjang tempoh lapan bulan pertama di Perak adalah melibatkan kes curi (Berita Harian, 19.09.2002). Menurut Menteri Besar, Datuk Tajul Rosli Ghazali (2002), statistik kes juvana di Perak telah mencapai tahap serius. Statistik berkenaan menunjukkan golongan remaja yang terbabit dalam kes jenayah melakukan jenayah untuk mendapatkan wang semata-mata dan sekaligus membuktikan bahawa budaya hedonisme telah menguasai pemikiran mereka.

2.3 PENGARUH BLACK METAL

Apa yang lebih membimbangkan, pengaruh Black Metal yang menjadi teras budaya hedonisme yang telah lama berkembang subur dalam masyarakat Barat mula menguasai pemikiran golongan remaja di negara ini. Menurut Yosuf Qardhawi, Black Metal diasaskan oleh golongan Hippies yang pada awalnya muncul sebagai kumpulan antisosial kerana bosan dengan kebuntuan peribadi. Akibat gangguan pemodenan dan globalisasi, mereka telah tersesat dalam gejala-gejala negatif dan tidak bermoral seperti meminum arak, melakukan seks bebas, mengambil dadah dan lain-lain sehingga ke peringkat menolak agama. Bagi penganut aliran ini, agama hanyalah satu penghalang kepada kepuasan hidup yang seharusnya berlandaskan nafsu semata-mata. Kawalan norma dan undang-undang agama ditentang dengan pelbagai cara oleh pengikut aliran ini yang menganggap hawa nafsu adalah tuhan sembahan mereka. Tradisi gila yang diamalkan oleh pengikut aliran ini akhirnya terpesong dan menjurus kepada pemujaan syaitan. Inilah perkara yang cuba ditiru oleh remaja muslim yang sudah kehilangan arah dalam masyarakat kini (Dr.Badlisam Mohd Nasir, 05.09.2006).

Kes tangkapan yang dibuat oleh pihak penguasa terhadap golongan remaja yang terbabit dengan gejala Black Metal mendapati ramai anak muda melayu yang terdiri dari pelajar sekolah terlibat dengan gejala ini. Budaya Black Metal yang bersifat anti-Tuhan, antisosial, antiagama serta bersifat pemberontakan dan kebebasan adalah amat membimbangkan kerana boleh menggugat keharmonian masyarakat. Di Barat contohnya, tindakan berani pengikut fahaman ini dengan membakar gereja, kitab suci dan rumah ibadat, malah sanggup membunuh rakan sendiri sebagai tanda kesetiaan kepada ajaran Black Metal harus menjadi pengajaran kepada kita supaya membendung fahaman ini daripada terus meracuni jiwa dan pemikiran golongan remaja di negara ini. Di samping itu aliran fahaman hedonisme yang membenci agama ini sering bertindak ganas dengan menghina agama, memijak Bible, mengencing, meludah, mengoyak dan membakar Al-Quran. Selain itu kumpulan ini juga melakukan upacara pemujaan dengan memuja kambing hitam, meminum darah kambing dan memuja syaitan (Berita Harian, 21.01.2006). Tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam yang menetapkan Black Metal adalah haram adalah satu tindakan yang sangat wajar bagi membendung fahaman ini dari terus yang berkembang yang secara jelasnya telah terpesong dari ajaran Islam (Berita Harian, 24.01.2006).

2.4 KERUNTUHAN AKHLAK DALAM KALANGAN REMAJA

Hasil daripada pengaruh budaya hedonisme, masyarakat di negara ini khususnya golongan remaja telah mengalami gejala keruntuhan akhlak yang amat meruncing. Perangkaan statistik mununjukkan jenayah dan salah laku moral yang membabitkan golongan remaja di negara kita semakin serius dan kronik. Akibat kemajuan yang dicapai dan pengaruh-pengaruh hedonisme telah mengheret golongan remaja ke lembah kebinasaan, terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik. Statistik remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan dan jumlah yang menjadi mangsa kepada AIDS/HIV semakin menakutkan (Utusan Malaysia, 19.01.2006). Menurut Tan Sri Mahyuddin Yassin, hasil dari satu kajian rambang yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik dari beberapa universiti telah mendapati 71 peratus daripada golongan remaja yang berusia 13 dan 21 tahun merokok, 40 peratus menonton video lucah, 28 peratus terbabit dalam perjudian dan 14 peratus mengambil dadah berat seperti heroin dan morfin. Masalah pelacuran dan jumlah penghidap baru HIV/AIDS juga semakin bertambah. Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datin Sri Paduka Marina (2002) berkata, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa jumlah penghidap baru HIV/AIDS pada tahun 2001 adalah sebanyak 6000 orang. Jumlah tersebut menurut beliau, merupakan angka yang tertinggi dari tahun-tahun sebelumnya. Keadaan ini menunjukkan tahap sosial golongan remaja ini semakin kritikal. Oleh yang demikian kerjasama antara semua pihak adalah sangat penting untuk membendung gejala negatif yang menghambat masyarakat kita pada hari ini.

2.5 TERAPKAN NILAI-NILAI NEGATIF

Namun apa yang mengecewakan, ketika pelbagai usaha dilakukan untuk mencegah budaya hedonisme daripada terus berleluasa terdapat beberapa pihak yang terus menggalak budaya hedonisme berleluasa. Antaranya tindakan pelbagai pihak media yang menganjurkan program dan rancangan yang bercorakan kebudayaan hedonisme. Contohnya program Jom Heboh dan pelbagai program televisyen yang lain. Tindakan TV3 yang sanggup membelanjakan Rm7 juta untuk sebuah program pertandingan nyanyian berkumpulan baru-baru ini amat dikesali kerana hanya akan mencambahkan budaya hedonisme yang semakin parah dalam kalangan remaja (Harakah Daily, 19.06.2007). AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad (2007) berkata, hedonisme yang lahir daripada program realiti TV semakin tidak terkawal dan mengakibatkan kesan yang buruk kepada akhlak dan fikrah remaja yang secara langsung mendatangkan kesan sosial yang kronik kepada negara. Menurut beliau lagi program dan rancangan seperti ini secara sedikit demi sedikit telah menerapkan nilai-nilai yang rosak kepada pemikiran remaja yang mengakibatkan mereka lalai kepada pelajaran dan malas untuk meneruskan pendidikan.

Mufti Negeri Perak, Dato Seri Dr Hj Harusani (2005), pernah mengulas di dalam laman web Jabatan Agama Islam dua tahun yang lalu menyatakan bahawa umat Islam kini menghadapi krisis akidah yang sangat membimbangkan dan pengaruh hedonisme, merupakan masalah utama yang melanda remaja masa kini. Harusasni juga pernah mengeluarkan fatwa bahawa konsert ‘Jom Heboh’ anjuran Media Prima Berhad adalah haram di sisi agama. Namun segala kritikan dan teguran yang diberikan, langsung tidak diendahkan oleh pihak-pihak tertentu kerana mereka lebih mementingkan keuntungan yang bakal mereka perolehi dari program-program yang mereka anjurkan . Tindakan seperti ini adalah amat dikesali kerana akan menyukarkan pelbagai langkah dan rancangan yang telah dibentuk untuk membendung budaya hedonisme yang dilihat semakin menguasai minda dan pemikiran masyarakat khususnya remaja di negara ini.

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, pengaruh dan budaya hedonisme telah mula merebak dan menguasai minda dan pemikiran masyarakat negara ini terutamanya golongan remaja. Keadaan ini boleh menjadi ancaman kepada masyarakat, agama dan negara pada masa hadapan. Oleh itu semua pihak harus memainkan peranan dalam membendung budaya ini. Budaya yang dianjurkan oleh hedonisme ini bukan sahaja bertentangan dengan adat resam dan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan, tetapi juga bertentangan dengan ajaran Islam. Jika tidak di bendung dengan segera budaya hedonisme ini akan merosakkan minda dan pemikiran generasi muda di negara ini. Generasi muda merupakan khazanah negara yang sangat berharga kerana generasi ini bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Jika dibiarkan budaya ini berleluasa kemungkinan generasi muda negara ini akan menjadi lemah dan leka. Oleh itu pelbagai langkah yang kritikal harus diambil bagi mengelakkan budaya ini berleluasa dan terus mencengkam jiwa dan pemikiran pelbagai lapisan masyarakat negara ini.

RUJUKAN

Abu ‘Afifah. Khutbah Jumaat. (30 Mei 2003).

Azrina Ahzan. Berita Harian. Putrajaya. (24/01/2006).

Azmin Amin. Kuala Lumpur. (Harakah Daily 19/Jun/2007).

Berita Harian, Kesalahan Juvana Babitkan Kes Curi, (19/09/2002).

Berita Harian, Black Metal boleh pesong akidah, (21/01/2006).

DR.Badlihisam Mohd Nasir, Hedonisme Pencetus Masalah Sosial, (5/09/2006), http://www.tutor.com.my.

Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kamus Dewan Edisi Keempa., Kuala Lumpur. Dawama sdn bhd. (2005).

Utusan Malaysia, (19/01/2006).

Endri Susanto, Hedonisme Merupakan Racun,(13 April 2008), http//endrisusanto.com.

Wikipedia. Free Encylopedia Human Capital. Internet.

Muhammad Vurthada, Budaya Hedonisme Satu Ancaman Baru Kepada Masyarakat, (02/01/2008). http://usrahwave.com.

Syed Azman. Hala Tuju Bangsa Bangsa Melayu Abad Ke 21,http//www.Morhaen.org.

Utusan Malaysia, (14/09/2002).

.